Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat
1Malaysia
Konsep balkanisasi mungkin
agak sukar untuk difahami jika kita tidak mampu memahami dengan lebih mendalam
akan maksudnya. Balkanisasi atau kata akarnya ‘balkan’ bermaksud proses
pemisahan negara-negara Balkan, khususnya Yugoslavia, yang digunakan bagi menggambarkan
fenomena politik yang dipenuhi konflik sesama mereka. Ulasan yang di buat oleh
saya ini adalah berdasarkan artikel dari blog Dr. Rahmat Ghazali yang bertajuk
‘Balkanisasi Siber: Gangguan Kepada Semangat 1Malaysia. Menurut beliau, balkanisasi
siber disini merujuk kepada suatu analogi terhadap gejala media yang menjadikan
isinya terpisah, membentuk kumpulan masing-masing dan menjadi sangat agresif
terhadap kelompok yang tidak mempunyai aliran kesefahaman dengan mereka.
Berbalik semula kepada negara-negara
Balkan ini yang sememangnya bebas namun kebebasan yang mereka telah kecapi
itulah yang membuatkan mereka terpisah, menolak apa jua perkongsian maklumat
dan lantas mereka menjadi lebih ekstrim dan bertindak ganas antara satu sama
lain. Hal ini telah mewujudkan segregasi ataupun keterpisahan, dengan itu
bersamaan dengan situasi media massa iaitu Internet yang memberi kelebihan
kepada para pengguna untuk memperolehi apa sahaja bahan yang diperlukan serta
membentuk kumpulan-kumpulan yang mampu berkongsi idea namun terpisah dengan
yang lain. Kumpulan yang telah terbentuk ini akhirnya bertukar kepada suatu
obsesi yang melampaui batas dimana ia membawa kepada gejala negatif serta
keburukan kepada masyarakat.
Saya bersetuju dengan
pendapat penulis iaitu dengan kemunculan media baru yang telah diberi kebebasan
oleh pihak berkuasa menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kesan negatif
dalam usaha mencapai keharmonian dalam masyarakat. Perkara yang diharapkan oleh
kerajaan agar rakyatnya mendapat variasi saluran maklumat agar Malaysia juga
mampu maju seiring dengan bangsa lain telah menjurus kepada elemen yang
bertentangan.
Seperti yang kita sedia
maklum, Pilihan Raya Umum yang ke-13 semakin hampir dan ramai individu
menggunakan medium Internet untuk menyalurkan maklumat yang berasas mahupun
yang tidak berasas. Kesemua maklumat atau carian di Internet kebanyakannya
boleh dipinda ataupun ditukar mengikut kehendak penulis itu. Maka tidak
hairanlah jika terdapat puluhan ribu malahan jutaan carian yang boleh kita
jumpa walau hanya menaip seringkas nama artis Barat iaitu Justin Bieber
misalnya yang mengikut citarasa individu itu. Namun situasi sebenarnya yang
ingin diterangkan oleh Dr. Rahmat Ghazali ialah apabila carian tersebut
digantikan dengan pelakon video lucah, pornografi, fitnah, hasutan serta
anti-kerajaan, ia mampu mencetuskan gejala balkanisasi media massa seperti mana
yang disarankan oleh Cass Sunstein.
Seperti yang saya teliti di
dalam artikel tersebut, Dr. Rahmat Ghazali lebih cenderung untuk mengutarakan
isu gejala obsesi yang dirangsangkan oleh Internet kerana ia merupakan saluran
yang tiada tapisan dan bersifat peribadi. Maklumat atau carian di Internet juga
boleh menyumbang kepada gejala seksual jika si pelaku itu mempunyai naluri
ingin tahu serta sifat ingin mencuba yang meluap-luap. Selain itu, para pelayar
Internet mampu untuk membentuk koloni mereka yang tersendiri dan mengumpulkan
individu yang mempunyai citarasa yang sama. Sebagai contoh, satu kumpulan yang
menubuhkan koloni yang mempunyai matlamat mereka yang tersendiri untuk
menjatuhkan pesaing, namun akhirnya boleh mencetuskan konflik yang memberi
impak kepada seluruh masyarakat.
Namun, pada dasarnya isu
balkanisasi ini mampu mengancam perpaduan kaum di Malaysia apabila melalui
kajian singkat yang dilakukan oleh Dr. Rahmat Ghazali ini yang diperoleh dari
carian Google mendapati bahawa maki-hamun serta cacian di antara sesama kaum
oleh golongan individu yang tidak bertanggungjawab amatlah lumayan jumlahnya.
Kes yang berlaku ini tidak mampu untuk membantu rakyat Malaysia untuk lebih
bersatu padu, malahan menjadi satu budaya yang semakin menular dan menjurus
kepada perpecahan kaum itu sendiri.
Apa yang lebih dibimbangkan
lagi oleh beliau ialah balkanisasi media ini mampu untuk mensegregasikan
individu mengikut minat mereka, kecenderungan menolak kehadiran kelompok lain
yang tidak sealiran pemikirannya. Seterusnya, gejala balkanisasi ini menjadikan
rakyat terbahagi ke dalam kelompok-kelompok kecil yang taksub dan terasuk
dengan satu bentuk tingkahlaku dan soal perpaduan mungkin tidak lagi relevan
bagi kelompok tersebut. Misalnya seperti contoh yang diberi oleh Dr.Rahmat
Ghazali iaitu insiden Hindraf dan Gelombang Kuning. Individu yang celik mata
dan akal fikirannya mampu untuk melihat sendiri bahawa gejala ini hanya menjurus
kepada obsesi dan ketaksuban sahaja.
Sebagai kesimpulan dari artikel yang
ditulis oleh Dr. Rahmat Ghazali, falsafah kebebasan mutlak itu sendiri
seharusnya diselitkan dengan rasa tanggungjawab dalam diri setiap pengguna
Internet kerana kesilapan yang mereka lakukan mampu menyumbang kepada kejatuhan
martabat manusia yang bertamadun ke satu tahap yang lebih hina. Maka, gejala
balkanisasi siber ini boleh menjadikan semangat 1Malaysia itu goyah dan sukar
untuk direlisasikan jika gejala ini tidak semakin berleluasa.
Source of article:
http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-4-cyber-balkanisation.html
http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-3-balkanisasi-siber-gangguan.html
Source of article:
http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-4-cyber-balkanisation.html
http://suaramurba.blogspot.com/2011/11/artikel-3-balkanisasi-siber-gangguan.html
No comments:
Post a Comment